Salaam alaykum, para mujahid.
Walau kau diuji hebat, kau tidak berganjak.
"Demi Masjid Al-Aqsa.",
kata engkau.
Walau kau dipijak henyak tiada henti, kau kembali, tegak berdiri.
"Demi Al Quds.",
kata engkau.
Walau kau ditindas Zionis terzalim, kau menadah tangan memanjat doa.
"Demi Palestine.", kata engkau.
Kau sabar menentang kezaliman. Kau teguh menegakkan kebenaran. Kau tak takut dipanah, kau tak gentar ditembak. Bangun di pagi hari mu disambut dengan bunyi bom, tidur waktu malam mu disentak dengan bau gas 'phosphorous'. Sedang kami nyenyak tidur, dibelai kipas berkuasa tinggi, bertilam empuk, kau bersengkang mata melawan keganasan.
Demi Palestine.
Ibu ku di Palestine...
Maafkan aku kerana sewaktu rumah mu dipecah masuk, aku tiada berbuat apa.
Ayah ku di Palestine...
Maafkan aku kerana sewaktu kepala mu dipenggal, aku tiada berbuat apa.
Adik gadis ku di Palestine...
Maafkan aku kerana sewaktu dara mu diragut, aku tiada berbuat apa.
Adik teruna ku di Palestine...
Maafkan aku kerana sewaktu kau dicolek dan dikurung, aku tiada berbuat apa.
Anak-anak kecil ku di Palestine...
Maafkan aku kerana waktu kau ditendang sehingga bermandian darah, aku tiada berbuat apa.
Bumi Allah ini luas, luas lagi kasih-Nya. Sehebat-hebat dugaan yang Rabb turunkan, hebat lagi ganjaran yang menanti di Jannah. Sudah dijanji Tuhan, kemenangan buat Palestine sangat hampir. Sabarlah, sayang. Ya Rahman Ya Rahim, aturan masa-Mu itu yang paling cantik. Kau lebih tahu sedang kami hanya tercongok, menunggu.
Aku mengaku aku pengecut, aku kerdil. Maka itu bukan aku yang dipilih menjadi penduduk tanah suci Bayt Al Muqaddas, maka itu bukan aku yang kehadapan menjadi antara mujahidah yang dijanji syurga-Nya.
Ilmu ku cetek secetek lopak air, aku tak mahu mengambil tahu hal saudara ku yang merayu aku bangun dari terus dinoda dunia. Ego ku tinggi menggunung, aku tak peduli apa jadi pada nyawa ummi abi, adik perempuan adik lelaki.
Akhir zaman semakin menjelang. Takkan Islam jatuh ke tangan Israel. Wujud pun tidak nama Israel dalam mata para mukmin. Allah, memang tidak layak lah aku memohon pada-Mu yang sentiasa mencukupkan aku. Tapi kali ini, pinta ku bukan untuk aku.
"Ya Rahman Ya Rahim, Kau kasih lah mereka yang berjihad di atas jalan-Mu. Kau lindungi lah mereka yang membawa semangat, mengikut jejak pejuang-pejuang agama sewaktu perang Badr dan Uhud. Ya Khaliq Ya Malik, Kau sayangi lah mereka yang diwajibkan solat 6 waktu termasuk solat jenazah setiap hari sedangkan kami tiada dibendung kesulitan apapun masih malas merendahkan diri, bersujud kepada-Mu walau sekali. Semoga hidayah tahu kami sedang mencarinya, semoga kemenangan lekas menghampiri saudara ku di Palestine. Amin."
Yang tercinta, para ahli Jannah... tatkala kau syahid nanti, setelah nyawa mu direntap Izrail, para penduduk syurga yang lain sedang menyambut kehadiran mu. Berehat lah di rumah baru mu yang tersergam indah, saat itu kau sudah menang.